Siri 1: Masalah Aqidah
(*Artikel ini telah
disiarkan oleh surat kabar "KABAR" keluaran terbaru (1-15hb Januari).
Siri-siri berikutnya hanya akan dimuatkan ke laman ini setelah disiarkan
oleh surat kabar tersebut).
Satu perkara yang saya tidak
percaya Islam menyuruhnya ialah memerangi orang bukan Islam, maksud saya
orang bukan Islam yang tidak pernah memusuhi Islam dan kaum muslimin.
Begitu juga saya tidak percaya Islam melarang orang Islam berpakat
dengan orang bukan Islam dalam hal-hal keduniaan yang melibatkan
kemaslahatan bersama sama ada dalam politik, perekonomian dan
sebagainya. Saya sebutkan "saya tidak percaya" kerana di sana ada orang
yang percaya sebaliknya. Ketika kecil dulu ada kawan-kawan mencuri di
kedai orang Cina. Bila dipersoalkan, mereka berkata; "Tak pa curi barang
cina, tak berdosa kerana mereka orang kafir". Ketika itu hati saya
berkata; "Mungkin ada benarnya". Namun sejak saya belajar tentang Islam
secara serius sehinggalah ke hari ini (dan saya masih membaca dan
mengkaji tentang Islam) tidak pula saya yang menemui keharusan itu sama
ada dari nas atau dari mana-mana pandangan ulamak. Yang ditemui (dalam
al-Quran dan as-Sunnah) ialah ayat demi ayat yang menyuruh orang Islam
berbuat baik, berlaku adil dan tidak menzalimi hatta kepada orang lain
yang tidak seagama dengan mereka.
Apabila kita bercakap tentang
bagaimana sepatutnya sikap kita (orang Islam) terhadap orang bukan Islam
sama ada dari sudut hubungan individu atau hubungan antara komuniti,
kita tidak bermaksud untuk merujuk kepada siyasah (polisi/pendekatan)
masa kini mengikut kepentingan atau kecenderungan mana-mana pihak.
Begitu juga, kita tidak mahu membaca hubungan itu dengan melihat kepada
sejarah kerana apa yang berlaku dalam sejarah juga tidak terlepas dari
siyasah atau kecenderungan ketika itu. Kita bermaksud melihat apa yang
disebut oleh nas dari al-Quran dan as-Sunnah. Siyasah dan kecenderungan
boleh berubah dan boleh berbeza antara seorang dengan seorang lain,
antara satu parti dan parti lain, begitu juga antara satu zaman dengan
sstu zaman lain. Adapun nas, ia tidak berubah. Mungkin tafsiran terhadap
nas berbeza dari seorang ulamak dengan ulamak yang lain. Namun kita
yang hidup di zaman ini -terutamannya ulamak dan ilmuan- dapat menilai
mana tafsiran yang menjurus kepada maksud ayat dan mana yang menjurus
kepada keadaan/penilaian semasa.
Ajaran Islam merangkumi dua
cabang utama iaitu Aqidah dan Syariah. Aqidah adalah keyakinan. Adapun
Syariah adalah amalan, perlakuan dan tindakan. Dalam Aqidah, kita
dituntut beriman bahawa Allah sahaja Tuhan, agama yang benar hanya satu
iaitu Islam dan Nabi Muhammad adalah Nabi terakhir untuk semua manusia.
Kenyataan ini cukup jelas di dalam al-Quran dan penganut Islam tidak
boleh beriktikad lain dari itu. Di antara dalilnya ialah firman Allah
(bermaksud); "Allah, tiada Tuhan melainkan Dia" (Surah al-Baqarah, ayat
255), "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah
Islam" (Surah Ali Imran, ayat 19) dan "Sesiapa mencari agama selain
Islam, tidak akan diterima darinya dan di akhirat dia tergolong dari
kalangan orang-orang yang rugi" (Surah Ali Imran, ayat 85).
Hanya Islam agama yang benar
Jelas
dari sudut Aqidah orang Islam wajib percaya hanya kepada Islam. Tidak
harus mempercayai semua agama adalah betul atau mencampur adukkan antara
agama-agama. Dalam kata lain, Islam menolak fahaman Pluralisme. Namun
dalam pada itu, Islam tidak membenarkan mana-mana penganutnya memaksa
orang lain yang tidak Islam untuk mempercayai sebagaimana kepercayaan
mereka. Ini cukup jelas dalam firman Allah (bermaksud) "Tidak ada
paksaan dalam agama" (Surah al-Baqarah, ayat 256). Diceritakan; Pada
zaman Nabi, ada seorang bapa menggunakan kuasanya memaksa dua anaknya
yang telah baligh supaya memeluk Islam sepertinya, namun mereka enggan.
Apabila kes dibawa kepada Nabi, turunlah ayat tersebut melarang tindakan
si bapa itu (Tafsir al-Munir, Dr Wahbah az-Zuhaili). Dalam hal ini
al-Quran mengajar orang Islam supaya berpegang dengan konsep kebebasan
beraqidah di dunia, walaupun di akhirat hanya Islam sahaja yang diterima
Allah. Kepelbagaian agama di terima di dalam
negara Islam di mana
orang bukan Islam boleh menjadi warganegara tanpa perlu menukar agama
dan aqidah/keyakinan mereka. Ini diamalkan sendiri oleh Rasulullah pada
zamannya di mana negara Madinah yang dipimpin baginda separuh dari
warganegaranya adalah bukan Islam. Nabi tidak pernah mengiktiraf agama
dan anutan mereka, namun baginda memberi kebebasan beragama kepada
mereka dan mengakui kewarganegaraan mereka melalui perjanjian yang
baginda lakukan dengan mereka.
Menghidupkan perbincangan ilmiah
Apabila
umat Islam tinggal berjiran dengan orang bukan Islam dalam satu negara,
mereka perlu mengambil peluang menghidupkan dialog/perbincangan ilmiah
dalam hal-hal berkait dengan aqidah dan keyakinan agama. Islam melarang
pemaksaan agama, sebaliknya menggalakkan dialog dan perbincangan ilmiah.
Inilah yang kita dapat fahami dari saranan Allah kepada kita supaya
bermujadalah (berbincang dan berdebat) secara baik dengan orang-orang
bukan Islam (rujuk; Surah an-Nahl, ayat 125 dan Surah al-Ankabut, ayat
46). Namun inilah yang gagal dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia
yang menyebabkan Islam tidak berkembang kepada bangs-bangsa lain selain
Melayu. Sejak sebelum merdeka, kita disibukkan dengan ketuanan Melayu
seolah-olah Melayulah segala-galanya di dunia. Kita lupa bahawa di sisi
Allah kemuliaan terletak kepada agama dan takwa. Maka apa yang
sepatutnya ialah kita memperjuangkan kedaulatan Islam. Bayangkanlah
bagaimana suasana di Malaysia hari ini jika 53
tahun yang lalu (tahun
pertama merdeka) pejuang-pejuang Melayu menukar slogan dari kedaulatan
Melayu kepada kedaulatan Islam. Dari saat itu mereka mengajak masyarakat
Tanah Melayu berbincang tentang Islam, membuka dialog antara Islam dan
agama lain dan antara Islam dan fahaman atau ideologi lain. Islam adalah
agama yang univesal sifatnya. Sesiapa sahaja dapat menjadi muslim
apabila ia memahami Islam dan bersedia menganutnya. Jika ia tidak
menganut Islam, kita boleh memadai dengan ia mengetahui bahawa Islam
tidak akan merugikan dirinya dan bangsanya. Adapun Melayu, ia hanya
sesuai untuk bangsa yang namanya Melayu. Tidak ada bangsa lain yang rela
bertukar menjadi Melayu. Kerana itu, memperjuangkan kedaulatan Melayu
hanya akan menimbulkan perasaan iri-hati bangsa lain yang tidak akan ada
kesudahannnya.
Penggunaan nama ALLAH
Apabila
timbul keinginan orang bukan Islam (khususnya Kristian) untuk turut
menggunakan kalimah Allah, kita sekadar bertikai sesama sendiri. Ada
yang membantah dengan cukup keras dan ada yang berpandangan tidak
mengapa kalimah itu digunakan asalkan pada tempat yang elok. Kenapa kita
tidak mengambil peluang dari keinginan itu untuk mencetuskan dialog
aqidah? Kita berkata kepada mereka; "Kerana kamu beria-ia hendak
menggunakan Kalimah Allah, mari kita berbincang tentang Allah? Siapa
Allah yang sebenar? Aqidah mana yang benar tentang Allah; Islam atau
Kristian?". Namun apakan daya, minda orang-orang Islam Melayu hari ini
-termasuklah ulamak-ulamak mereka- didominasi oleh minda Fiqh; minda
halal atau haram, harus atau tidak? Amat lemah minda dakwah dalam kepala
mereka menyebabkan semua masalah di hadapan mereka hanya dilihat/diukur
dari satu sudut sahaja iaitu sudut hukum (halal atau haram, harus atau
tidak?), tidak dilihat dari sudut lain yang tidak kurang pentingnya
iaitu sudut dakwah dan tabligh.
Bila kita membaca Sirah Nabi,
kita melihat tidak semua masalah dihadapi oleh Nabi dengan pendekatan
hukum (wajib, sunat, haram, makruh.....) walaupun dalam Islam semua
persoalam ada hukumnya. Di dalam kitab-kitab hadis ada diceritakan
semasa Rasulullah sedang mengajar di dalam masjidnya, tiba-tiba seorang
A'rabi (Arab dari pedalaman) bangun dan kencing di satu penjuru masjid.
Perbuatan A'rabi ini dari segi hukumnya adalah haram kerana mengotorkan
masjid. Kalau A'rabi itu hidup pada hari ini dan peristiwa itu berlaku
di Malaysia, pasti ia akan dihalau keluar oleh orang-orang masjid
sebagaimana kanak-kanak dihalau keluar atas alasan berbuat bising dan
berlari-lari dalam masjid. Namun, apa tindakan Rasulullah? Hadis
menceritakan; Ada sahabat-sahabat yang bangun dan ingin menggertak
A'rabi itu, namun Nabi melarangnya. Nabi membiarkannya menyudahkan
kencingnya, kemudian baginda berkata kepada beberapa sahabatnya;
"Pergilah kamu mengambil sebaldi air dan curahlah ke tanah tempat ia
kencing tadi" (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Wudhu', hadis dari Abu
Hurairah). Kita tidak dapat menghurai panjang fiqh hadis ini dalam
ruangan terhad ini, tetapi dengan sedikit renungan pembaca sudah dapat
melihat bentuk kebijaksaan dalam sikap dan tindakan yang ingin diasuh
oleh Nabi kepada umatnya.
Kebijaksanaan Nabi
Sikap
dan tindakan Nabi dalam berdepan orang-orang bukan Islam juga
menunjukkan kebijaksanan yang amat tinggi. Nabi mengambil sikap yang
berbeza dalam situasi yang berbeza mengikut keputusan yang paling
bermanfaat untuk dakwahnya. Ada orang kafir yang diisytihar Nabi;
"Hendaklah ia dibunuh dalam apa keadaan sekalipun walaupun ia bergantung
di tirai Kaabah". Namun dengan bapa saudaranya Abu Talib, Nabi tidak
pernah memeranginya, malah tetap tinggal bersamanya dan tidak pernah
putus mendakwahinya hingga akhir hayatnya. Nabi mengusir Kabilah Yahudi
dari Bani Qainuqa', Nadhir dan Quraidzah kerana mereka mencabul
perjanjian dan mengkhianati banginda. Namun ada orang-orang Yahudi yang
Nabi bermuamalah dengan mereka; berjual-beli dengan mereka, menerima
hadiah dari mereka, meminjam wang dari mereka, menziarahi mereka di
rumah dan menghormati jenazah mereka. Ketika umat Islam ditindas di
Mekah, Nabi pernah menyuruh golongan mustadhafin berhijrah ke Habsyah
dan
bernaung di bawah Raja Kristian yang adil ketika itu iaitulah
Najasyi. Semua yang kita sebut ini telah sabit dalam hadis-hadis soheh
termasuk kitab Imam al-Bukahri dan Muslim. Kebijaksaan sikap Nabi itulah
yang menjadi factor cepatnya dakwah Islam diterima di tanah Arab dan
seterusnya menakluki dunia dalam tempoh tidak sampai 100 tahun. Sikap
tegas Nabi adalah kebijaksanaan. Sikap lembut dan toleransi baginda juga
kebijaksanaan. Kedua-duanya ditentukan oleh maslahah dakwah. Tetapi
kita, keras kita kerana ego. Lembut kita pula kerana kelalaian. Puncanya
tidak lain kerana tujuan kita bukan dakwah, tetapi ingin menonjolkan
kehebatan diri masing-masing.
Ikuti siri berikutnya;
Siri 2; Masalah Ibadah
Siri 3; Masalah Muamalah
sumber:
http://koleksi-alqalam.blogspot.com/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar